Wednesday, October 10, 2012

[.Nilai.]

Bagaimana individu menilai individu yang lain? Paras rupa? Harta kekayaan?Atribusi dalaman? ...atau sekadar kata persahabatan? Aku mengambil masa yang lama untuk isu ini, atau ia bukan isu mahupun masalah. Tapi apa yang aku inginkan tekankan bagaimana sekarang manusia mula menilai manusia yang lain bukan secara lahiriah, tetapi zahiriah. Aku lupa samaada egositik mula menjadi benteng dalam penilaian individu. Secara umumnya, aku bukan hendak membuat sebarang kesimpulan dan untuk memendekkan cerita, cuba teroka individu itu sebelum anda menilainya. Kadang-kadang rasa sebiji mangga tidak semestinya masam, tapi pabila kita kupas dahulu dan jamah, ia mungkin lebih manis dari apa yang kita sangka...

Friday, September 21, 2012

[.keranaMASA.]

Sedikit demi sedikit, hadlaju sederhana, jam berdetik... seiring itu, masa pergi meninggalkan kita tanpa menoleh ke belakang. Akhir-akhir ini aku sibuk sendiri. Rerambut kurang basahnya, tidur tidak berapa lena. Ada igauan mencelah, membisik-bisik khabar buruk. Terburu-buru otak mencanak mengolah idea, kejap-kejap jantung berdegup kencang menanti jari-jemari menari mengintrepetasi buah fikiran, dan kini aku kekeringan. Kontang! Aku sibuk menghiburkan kanak-kanak, mereka kecil dan mentah, mendambakan ilmu duniawi. Aku sibuk di atas kertas putih, memaksa jari-jemari aku melakar mimpi ngeri. Hingga kini, aku masih sibuk, nasib dia ada... Walau sekejap meneliti namun aku puas... tetap puas...

# Sengaja meletakkan gambar Yesteday - The Beatles (versi remix) kerana mengingatkan aku tentang semalam yang sukar untuk dimansuhkan. Andai semalam boleh diulang, aku ingin putarkan waktu aku+kau ketawa bersama...





Sunday, July 1, 2012

[.kesunyian]


Cuba berlari tapi langkah ini terlalu lesu untuk terus berlari laju. Akal pantas memintas, "Sampai bila harus aku berlari?". Hati berdetik halus, "Aku mengejar atau dikejar?". Hati gagal menjawab. Tiada skema jawapan yang lengkap untuk menginterpretasi persoalan yang hati persoalkan. Tetapi kerana gagal segalanya, nafsu kian meraja. Bijak bermonolog drama sendiri. Menghalalkan segala erti. Manusia terlalu lemah, diri sendiri, sunyi, sepi terus mengizinkan nafsu mengalih kata hati. Kesunyian yang mampu membuat manusia lupa diri dan mengikut kata hati. Kesunyian itu jalan yang kita sendiri corakkan sedang di hadapan terbuka satu jalan kebahagiaan. Kenapa tidak jalan itu yang kau pilih. Terlalu takut untuk berdiri dengan kaki sendiri? Takut tergelincir akal dari hati? Takut kata, perilaku atau tingkah memakan diri. Kadangkala jalan yang selamat itu belum tentu baik untuk kita. Pandangla dengan mata hati bukan mata kasar kerana ia mampu membutakan hati. Ingat, Allah itu sentiasa bersama, tiada istilah sunyi kerana Dia ada di sisi...

Thursday, June 21, 2012

[.kesempitan.]


Acap kali kau ungkapkan seribu kata manis, merungkai segala mimpi indah untuk aku layari tiap tirai malamku menjengah. Kau menjadikan aku abnormal dalam hidup, Sentiasa mencari kesenangan, jijik dengan igauan. Terlalu indah untuk berada di atas ini sampai aku enggan mengerling ke bawah. Bukan takut semata tapi tidak mahu dipandang hina. MANUSIA: yang cantik diagung-agungkan, yang jelik? Prejudis dalam mengatur langkah. Terlalu menganggap diri mahadewa yang layak disembah. Mendamba-damba ukuran sujud di kaki sendiri hingga lupa Pencipta sendiri. Andai kelekaan ini memakan diri sendiri, tidak tahu apakah masih ada harga untuk tubuh ini. Jangan apabila musibah melanda kita mula merintih-rintih simpati. Minta dilupakan kekurangan diri. Itulah resmi insan kesempitan yang hanya tahu meraih simpati dan tak pernah mengaku kesilapan diri. Merasakan diri itu merak yang cantik dan indah bukan gagak yang hitam dan kotor. Refleksi kendiri, mengukur sejauh manakah imann sendiri.

1 Sya'ban 1433

Friday, April 6, 2012

[.perangkap.]


Aku melalui hari semalam tanpa menoleh waima sekilas. Mata tertumpu ke hadapan. Imaginasi mengorak langkah mengawal minda. Jasad entah ke mana... sekadar menurut kata hati... yang tak pasti. Medulla oblongta gagal mengawal perasaan sewajarnya. Hati kalut sendiri. Jiwa dan jasad terbawa-bawa emosi. Ini semua sampah! Kenapa hendak menilai manusia dari butir kata yang hasad? Entah apa yang merasuk, melawan dan mengagalkan manusia dari menjadi MANUSIA yang hilang perinya? Jangan hendak meyelak aib orang kalau diri sendiri tidak tertutup malunya... Hidup kadang-kadang kena berani menongkah arus... Meski deras airnya atau dalam arusnya, kita kena berani untuk melangkah ke hadapan. Jangan biarkan apa anasirpun menganggu kerana hari ESOK masih ada....

Wednesday, April 4, 2012

[.Teater Musikal: Gerimis Mengundang 2012.]


'Aku sedar, setiap persimpanagan itu aku harus memilih antaranya. Manusia tidak pernah dapat kesemuanya, kerana kita perlu membuat pilihan...' (TMGM, 2012)


'... kurenung kisah kita,
kekosongan antara inti dunia...
airmata dan tawa buat kita berbalah,
rindu terwujud segala yang indah...' (Cinta)

'... biarlah rasa rindu itu menyelubungi,
saat aku sudah tiada lagi,
kerana cinta itu amat luar biasa,
saat tiada dunia baru terasa...' (Zamani)


Satu perolahan cerita yang agak 'cliche'. Merungkai satu lagi norma-norma masyarakat kita. Sedikit kritikan masyarakat diselitkan sebagai salah satu penyerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam naskan musikal romantis ini. Sekalung ucapan tahniah buat produksi TMGM atasa penghasilan karya yang agak menarik untuk disajikan kepada masyarakat. Mungkin umum suda jemu atau jelik dengan santapan harian yang berbentuk cinta, khianat, persahabatan dan masalah sosial remaja. Isu-isu seperti ini bagaikan tidak pernah mati dari kehidupan kita. Namun penambahbaikan boleh dilakukan. Beberapa aspek harus dititik beratkan agar naskah ini bukan sahaja agung pada nama, tetapi pada isinya. Biarkan umum merasai, menjamah sesuatu yang segar buat sajian minda. Plot cerita boleh dicalitkan sedikit dengan sesuatu yang luar dari kebiasaan kita. Pujian harus diberikan kepada kru-kru yang terlibat, pelakon yang sememangnya punya bakat yang luar biasa, betapa agungnya ciptaan Illahi. Tahniah kerana buat penonton tidak kering gusi sepanajang menikmati naskah ini. Semoga, Malaysia dapat melahirkan naskah-naskah yang bermutu buat industri hiburan khususnya.


Terima kasih kepada produksi yang memberikan ruang untuk aku menterjemah Teater Musikal 'Gerimis Mengundang' dari sudut pandangan manusia kecil seperti aku. Terima kasih kepada rabiatuladawiyah.com atas jasa baik anda memberikan saya peluang yang cukup bermakna. Terima kasih semua...